BAITUL MUSLIM 4 August, 2009
Posted by ismakedah in Aktiviti.add a comment

Sempena merasmikan Pejabat ISMA Kedah yang baru, berlokasi di Bandar Darul Aman, Jitra, Biro Wanita ISMA Kedah telah berjaya menganjurkan program Baitul Muslim pada 1 Ogos 2009 lalu. Selari dengan itu sekalung penghargaan juga buat ikhwah-ikhwah yang bertungkus lumus mengembleng tenaga menyiapkan pejabat baru bagi memastikan program dapat diadakan ditempat baru, yang tentunya memberi lebih keselesaan berbanding yang sebelumnya. Jazakumullah khairan jaza’.
‘Melahirkan institusi keluarga duah yang berjaya’ telah diangkat sebagai antara objektif pada program yang meraih keanggotaan daripada 30 orang ahli ISMA yang berada disekitar negeri Kedah. Program ini adalah dikhususkan kepada ahli yang telah melalui fasa baitul muslim. Program yang dijadualkan bermula pada jam 8.30 pagi itu terpaksa ditunda sehingga ke jam 12.00 tengahari berikutan perubahan pada jadual penerbangan penceramah. Sepanjang menanti kehadiran penceramah, majlis dengan dikepalai oleh YDP ISMA Kedah, Dr Zulkifli mengadakan sedikit slot perbincangan sesama hadirin perihal kaedah untuk mendidik anak-anak. Perbincangan berlangsung dengan jayanya dimana para hadirin berkongsi segala ilmu dan pandangan sebagai panduan kepada hadirin yang menyertai program kali ini.
Slot rasmi pertama bermula kira-kira jam 12.00 tengahari di mana penceramah iaitu Ustaz Anuar b. Soleh membentangkan pengisian yang bertajuk ‘Komunikasi dalam Rumahtangga’. Penyampaian yang bersahaja dengan diselang seli pelbagai tips yang mengenengahkan tentang perkara yang perlu ada pada setiap pasangan. Antaranya setiap pasangan perlu menguruskan konflik yang wujud dengan cara yang berhemah dan berhikmah. Sepertimana yang adatnya setiap rumahtangga tidak dapat lari dari berhadapan dengan konflik sama ada kecil atau besar. Untuk menghadapinya penceramah menekankan agar setiap pasangan menyenaraikan setiap konflik yang berlaku. Setiap konflik yang wujud haruslah diselesaikan satu demi satu mengikut apa yang telah disenaraikan. Kaedah ini amat penting bagi mengelakkan setiap masalah terpendam dan kelamaan akan dikhuatiri menjadi satu konflik yang lebih besar. Elemen yang perlu ada dalam diri pasangan untuk berdepan dengan konflik seperti berterus terang, mewujudkan situasi menang-menang dan berjanji untuk berubah merupakan batu asas yang penting dalam menjayakan komunikasi sesebuah rumahtangga. Seterusnya majlis membuka soalan kepada hadirin untuk mengemukakan sebarang kemusykilan berkaitan dengan tajuk yang telah dibentangkan.
Majlis berhenti rehat pada jam 1.00 tengahari untuk memberi laluan kepada solat Zuhur dan makan tengahari. Tepat jam 2.00 petang majlis kembali dihangatkan dengan tajuk yang kedua iaitu ‘Pendidikan Anak-Anak’. Penceramah, Ustaz Anuar Soleh dalam penerangannya, membahagikan tanggungjawab pendidikan kepada tiga peringkat iaitu tanggungjawab sebelum kelahiran, semasa kelahiran dan selepas kelahiran. Fasa sebelum kelahiran adalah bermula dari pemilihan jodoh sehinggalah anak tersebut lahir. Apabila kelahiran terjadi maka bermulalah peranan ibubapa sebagai murabbi dalam mentarbiyah anak serta keluarga. Hadirin ditekankan agar menyemai tarbiyah ruhiyyah ketika diawal usia anak-anak kerana inilah waktu yang terbaik untuk mereka. Sebagai ibubapa kita tidak seharusnya menyekat naluri keanak-anakan anak-anak kita, sebaliknya kita perlu sentiasa bersedia memberi infomasi yang betul terhadap sebarang persepsi yang wujud dalam minda anak-anak ketika diusia sebelum baligh. Sejajar dengan itu ibubapa perlu menyediakan diri kearah situasi tersebut dengan menimba ilmu supaya anak-anak akan tersemai dengan akhlak dan suluk yang terpuji. Setelah anak baligh barulah ibubapa perlu menanam tarbiyah aqliah sebagai pelengkap kepada tarbiyah ruhiyyah yang telah diperolehi sebelumnya. Seterusnya majlis membuka soalan kepada hadirin untuk mengemukakan sebarang kemusykilan.
Di akhir majlis, pihak penganjur menyampaikan cenderahati kepada penceramah dan majlis berakhir pada jam 4.00 petang. Program yang berlangsung telah berjaya menambat hati hadirin yang rata-rata berpuas hati dengan penyusunan dan pengisian program tersebut. Tahniah diucapkan kepada Biro Wanita kerana berjaya menganjurkan program baitul muslim yang dapat memberi sentuhan rohani dan jasmani. Semoga para hadirin dapat menggarap sebanyak mungkin manfaat daripada pengisian yang telah disampaikan untuk diterjemahkan dalam kehidupan masing-masing. Maasalamah wa ilalliqa’
UMMU HUDZAIFAH
Hanya Gerhana Bukan Terbenamnya Matahari 23 July, 2009
Posted by ismakedah in Aktiviti.add a comment

Kelmarin dunia secara khusus benua Asia menyaksikan peristiwa bersejarah antara gerhana matahari yang paling lama berlaku. Fenomena ini dijangka akan berulang lagi hanya pada tahun 2032. Jika umur panjang, usia mereka yang sebaya dengan saya pada waktu itu adalah 52 tahun manakala Humaira pula telah berusia 26 tahun, harapnya telah berkahwin dan mempunyai 2 orang anak.
Dalam kitab Al Muntalaq karya Muhammad Ahmad Ar Rashid, terdapat satu tajuk berkenaan dengan gerhana, tetapi kisahnya bukanlah mengenai gerhana matahari, tetapi gerhana di dunia ini apabila islam tidak menjadi rahmat kepada seluruh alam.
Dunia sesungguhnya telah mengalami kerugian yang amat besar apabila Islam tidak menjadi penguasa dunia, sejarah telah menjadi saksi betapa selama hampir 1400 tahun, Islam telah menyinari sekurang-kurangnya 2/3 dunia dengan rahmat dan keadilan.
Ketika zaman keagungan Islam, tabir kegelapan dan kezaliman dunia disingkap, ramai manusia telah kembali menjadi hamba kepada Allah apabila mereka telah menjadi hamba kepada sesama manusia sebelumnya.
Pelbagai tamadun ilmu berkembang, penemuan demi penemuan ditemukan, tokoh demi tokoh dilahirkan, keadilan Islam melata diatas muka bumi, dunia dan seisinya beroleh rahmat apabila bumi ini dipusakai oleh hamba-hamba Allah yang soleh. Kesan ketamadunan ilmu ini masih kekal hingga hari ini, nama-nama seperti Umar Al Khattab, Muawiyah Bin Abi Sufian, Imam Nawawi, Imam Syafi’I, Imam Ghazali, Al khwawizmi, Ibn Sina, Al Khindi, Al Biruni akan terus kekal harum sepanjang ketamadunan insan.
Namun, sinaran mentari Islam ditakdirkan gerhana jua seketika, 1924, menyaksikan kejatuhan khilafah yang terakhir, bumi Uthmaniyyah bermandi air mata ummah yang menangisi pemergian khilafah. Dunia kembali gelap, peperangan demi peperangan berlaku, umat Islam dibantai dimana-mana, sistem ekonomi kapitalis berasaskan riba menjerut dunia seluruhnya, pencemaran dunia makin kritikal, bangunan makin tinggi tetapi kerohanian manusia makin runtuh. Dunia sekali lagi dirundung gerhana dek hilangnya mentari Islam.
Tabi’I gerhana ialah ianya hanya akan berlaku seketika, sinar cahaya pasti akan kembali selepasnya, hanya selepas 85 tahun kegelapan, Islam kembali menunjukkan tanda-tanda kebangkitan. Hari ini, Islam menjadi agama yang paling pantas dianuti di Eropah dan Amerika.
Para pendakwah yang ikhlas kini gigih bekerja, hanya masa yang akan menentukan bahawa Islam pasti akan bangkit kembali. Dunia ini pasti akan kembali dipusakai oleh hamba-hamba Allah yang soleh. Kawanan burung kini menyanyi riang kerana sedar saat gerhana hampir tiba dipenghujungnya.
Islam pasti bangkit kembali
Pengerusi Pembina Kedah 2009
JAULAH AKHAWAT 16 July, 2009
Posted by ismakedah in Aktiviti.add a comment
Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah s.w.t kerana dengan keizinanNya, program jaulah akhawat ke Kulim pada 11 Julai 2009 dapat dilaksanakan dengan penuh rasa ukhuwah yang mendalam. Program dimulakan dengan taklimat perjalanan program oleh Ukhti Rohaizah merangkap Pengarah Program disusuli bacaan doa oleh adik Hassan. Perjalanan bermula jam 9 pagi disertai oleh 10 orang akhawat, 12 orang anak dengan menaiki 3 buah kenderaan.
Destinasi pertama kami adalah ke kediaman Ustazah Norhayati dan kami tiba pada jam 11 pagi disambut oleh senyuman manis dari tuan rumah dan dua orang akhwat iaitu Ustazah Salma dan Ustazah Syahirah. Terasa begitu bahagia dan gembira tatkala ketemu Ustazah Norhayati serta sahabat-sahabat.. Walaupun mungkin selalu berjumpa dalam program-program besar, tapi perjumpaan kali ini amat bermakna lagi buat kami untuk mengenali Ustazah Norhayati dengan lebih dekat. Kami saling bertaaruf dan mendengar sedikit pengisian dari Ustazah Norhayati tentang kelebihan jaulah iaitu dapat merapatkan ukhuwah antara sahabat yang dekat dan jauh.. Selain itu Ustazah Norhayati juga menyatakan bahawa ukhuwah yang didasari oleh keimanan kepada Allah itulah ukhuwah yang akan mendapat ganjaran yang besar iaitu keampunan daripada Allah. Selepas sessi taaruf dan tazkirah, kami disajikan pula oleh tuan rumah dengan pulut durian, k
eropok goreng dan buah-buahan yang diambil khas dari kampung Ustazah Norhayati di Kuala Nerang.
Selepas hampir 2 jam di rumah Ustazah Norhayati, kami meneruskan perjalanan kami ke rumah seorang lagi ukhti iaitu Ustazah Norita. Kami ditemani oleh Ustazah Norhayati, Ustazah Salma dan Ustazah Syahirah ke rumah Ustazah Norita. Walaupun perjalanan kami terdapat sedikit kesulitan tetapi Alhamdulillah kami selamat tiba di rumah Ustazah Norita pada jam 2.30 petang. Alhamdulillah dapat kami kenali Ustazah Norita dengan lebih dekat apabila kami saling bertaaruf, terasa begitu rapat dan hampir walaupun jarang berjumpa.. memang benarlah.. kalau kita berukhuwah kerana Allah, kita akan merasainya.. Subhanallah…Terima kasih Ya Allah..
Kami disajikan lagi dengan santapan rohani oleh Ustazah Norita dengan kisah-kisah yang menunjukkan ukhuwah kerana Allah itu memang manis, bagaimana kisah Ali bin Abi Talib dengan Miqdad yang menunjukkan sikap ithar Ali dengan memberikan wang 1 dirhamnya yang dipinjam dari sahabat lain kepada Miqdad walaupun pada masa tersebut dia amat memerlukan wang untuk membeli makanan untuk keluarganya….. Apa ganjarannya… Allah menggantikan duit 1 dirham itu dengan makanan lazat dari Allah swt yang telah terhidang di dapur rumah mereka..Subhanallah … itulah serba ringkas pengisian yang telah disampaikan oleh Ustazah Norita… selain itu juga kami berkongsi-kongsi pandangan dengan akhawat Kulim berkenaan jalan dakwah yang kita ikuti.. Serba sedikit ilmu tersebut memberi kekuatan kepada kami untuk meneruskan kerja dakwah yang telah terpikul dibahu dengan semangat yang membara berlandaskan kefahaman yang benar dengan fikrah ini.. Setelah mendengar santapan rohani tibalah masa untuk mengisi perut yang sedang berkeroncong dengan jamuan yang dimasak sendiri oleh Ustazah Norita.
Anak-anak sudah tidak sabar untuk ke destinasi seterusnya Air Terjun Junjung, tetapi memandangkan cuaca yang tidak mengizinkan, kami terpaksa membatalkan hasrat ke sana. Walaupun anak-anak kurang berpuas hati dengan keputusan yang dibuat tetapi mereka terpaksa akur dengan keadaan cuaca yang memang tidak mengizinkan… InsyaAllah kita pergi lain kali…
Jaulah kami berakhir dengan aktiviti pertukaran hadiah di rumah Ustazah Norita, anak-anak juga tidak ketinggalan untuk menerima hadiah yang telah disediakan oleh Nur Tasneem Bestari. Setiap permulaan ada pengakhirannya dan setiap pertemuan akan ada perpisahannya. Kita bertemu kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah.. InsyaAllah banyak manfaat yang kami kutip sepanjang perjalanan bersama untuk dijadikan perisai melawan hawa nafsu. Semoga ukhuwah yang telah terbina akan disuburkan lagi dengan rasa kasih sayang hanya kerana Allah. InsyaAllah.
Disediakan Oleh
Ummu Nu’man
MUKHAYYAM ZON 2 July, 2009
Posted by ismakedah in Wanita.add a comment
“Soleh wanita, solehlah masyarakat”, itulah ungkapan yang paling tepat bagi menggambarkan betapa besarnya peranan dan sumbangan wanita ke arah melahirkan masyarakat yang sejahtera dalam menempuh perjalanan kehidupan di dunia ini. Tidak dapat tidak,wanita yang bertindak sebagai sayap kiri bagi kaum lelaki perlu sentiasa mempersiapkan diri dengan ilmu dan bekalan yang secukupnya bagi menghadapi cabaran dan halangan yang mendatang demi mendidik generasi pewaris yang bakal memimpin negara dan dunia.
Atas dasar inilah, Wanita ISMA Zon Utara mengambil inisiatif bagi mengadakan Mukhayyam Khariji Wanita ISMA Zon Utara 2009 yang telah berlangsung pada 26 hingga 28 Jun yang lalu. Menjunjung tema ’Mantapkan Ukhwwah, Perkasakan Dakwah”, mukhayyam yang diadakan di Kem Guar, Manong Perak ini berjaya menghimpunkan 63 orang peserta dari negeri-negeri utara semenanjung iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, yang terdiri dari peserta berumur 18 hingga 60 tahun. Wanita ISMA Kedah sendiri, berpeluang menghantar seramai 13 orang peserta untuk menghadiri mukhayyam yang julung-julung kali diadakan itu.
Rombongan Wanita ISMA Kedah begitu bersemangat memulakan perjalanan ke Kem Guar pada hari Jumaat, 26 Jun 2009 seawal jam 12 tengahari dengan menaiki 2 buah kereta dan sebuah MPV. Sebaik tiba di kem tersebut lebih kurang jam 4.30 petang, para peserta begitu teruja melihat pemandangan padang ragut yang terbentang luas di kiri dan kanan jalan masuk ke kem di samping suasana kem yang di kelilingi hutan yang turut mengalirkan sebatang sungai yang cantik. Program bermula di sebelah malam dengan sesi taklimat program oleh penyelaras program iaitu Ustazah Norakhilah bt Baharin. Peserta kemudiannya menjalani sesi ’Tak Kenal Maka Tak Cinta’, satu permainan di mana para peserta perlu mencari peserta lain yang memiliki persamaan dengan dirinya, seperti bulan kelahiran, pekerjaan dan nama kumpulan. Aktiviti ini berjalan dengan penuh meriah, dan secara tidak langsung membolehkan para peserta bertaaruf antara satu sama lain. Hari pertama program diakhiri dengan acara tadarus secara berkumpulan.
Program pada hari kedua lebih padat dan menarik. Bermula dengan pembangunan rohani melalui qiamullail dan kuliah subuh yang bertajuk ’Ukhwahfillah’oleh Ketua Wanita ISMA Kedah, Ustazah Junainah Jaafar, peserta kemudiannya dikerah memantapkan fizikal dan mental menerusi aktiviti kembara alam di mana para peserta perlu mendaki bukit yang agak curam. Perjalanan naik dan turun bukit yang bermula pada jam 10 pagi mengambil masa selama 2 jam. Ianya begitu mencabar ketahanan dan semangat juang para peserta kerana mereka turut mendapat ’serangan’ pacat yang banyak memandangkan hujan turun dengan lebat pada hari pertama program.

Slot di sebelah petang diisi oleh ceramah oleh Ketua Wanita ISMA Pusat, Ustazah Norsaleha bt Mohd Salleh yang bertajuk ’Peranan Wanita dalam Pembangunan Organisasi dan Dakwah’ pada jam 2.30 petang. Penceramah antara lain telah mengupas peranan wanita secara umum dan wanita ISMA secara khusus di dalam pembangunan organisasi dan mendidik masyarakat. Pengisian yang padat dengan isi dan kupasan yang menarik telah membuatkan para peserta begitu tekun menadah telinga walaupun walaupun terpaksa melawan rasa letih dan mengantuk. Ceramah seterusnya oleh Ketua Wanita ISMA Perak, Ustazah Nor Akhilah Baharin turut mencuri tumpuan para peserta. Ceramah yang disulami lawak jenaka berjaya membuatkan para peserta memberi sepenuh perhatian terhadap tajuk ’At-Toriq Ila Ukhti Muslimah’ walaupun ianya diadakan pada jam 5 hingga 6.30 petang. Kepenatan dan kelesuan hilang apabila jiwa dihidangkan dengan peringatan-peringatan yang segar dan menyentuh perasaan. Aktiviti kesenian di sebelah malam tidak kurang hebatnya. Walaupun dalam tempoh persediaan yang agak singkat, para peserta telah berjaya menunjukkan bakat kumpulan masing-masing untuk membuat pelbagai persembahan sajak, nasyid dan lakonan berdasarkan tema yang telah diberikan. Secara tidak langsung aktiviti ini telah merapatkan lagi ukhwah antara para peserta.
Hari terakhir program memberikan pengalaman baru kepada kebanyakan peserta. Selepas solat subuh, para peserta menjalani aktiviti senaman yang menyerupai gerakan ’tai-ci’ yang dipimpin oleh Ustazah Junainah. Para pesera kemudiannya dibawa menelusuri kisah Saidatina Fatimah Az-Zahra dan Zainab Al-Ghazali yang penuh dengan contoh dan iktibar yang mulia untuk diteladani oleh para peserta. Tazkirah yang disampaikan oleh Ustazah Salma Ismail ini berjaya meninggalkan kesan di hati para peserta untuk mencontohi 2 orang tokoh wanita agung tersebut . Slot seterusnya iaitu slot LDK memerlukan para peserta membincangkan soalan yang telah diberikan berdasarkan ceramah dan kuliah yang telah disampaikan dalam slot-slot sebelum ini. Mukhayyam Khariji Wanita ISMA Zon Utara 2009 diakhiri dengan upacara perasmian penutup oleh penasihat program, Ustaz Shaharuzzaman Bistamam dan sesi penyampaian hadiah kepada semua kumpulan.
Secara keseluruhannya, program ini berjalan dengan lancar dan berjaya mencapai 3 objektif yang telah digariskan iaitu menyemai ukhwah dan mahabbah di kalangan peserta, membina peribadi muslimah berlandaskan qudwah sohabiah dan menyatukan tenaga bagi menggerakkan dan dakwah. Tahniah diucapkan kepada semua jawatankuasa pelaksana dan para peserta yang telah menunjukkan kerjasama dan komitmen yang tinggi dalam menjayakan program ini. Maa’salamah wa ilal liqa’!
Disediakan…Ummu Umar
Jambori Remaja Muslim Nasional 2009 – Muda untuk Berjasa 14 June, 2009
Posted by ismakedah in Aktiviti, Krim.6 comments

- Peserta jambori Kedah bersama fasi

- Pertandingan kawad
Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) buat julung kalinya berjaya menganjurkan Jambori Remaja Muslim Nasional bertempat di Hutan Lipur Ulu Bendul, Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 6 hingga 9 Jun 2009. Bertemakan “Muda untuk Berjasa”, jambori kali ini berjaya mengumpulkan hampir 300 orang remaja lelaki seluruh Malaysia untuk berkampung selama 4 hari 3 malam di Hutan Lipur Ulu Bendul.
KRIM cawangan negeri Kedah tidak ketinggalan untuk sama-sama menyahut cabaran menyertai jambori ini. Pasukan KRIM Kedah dengan kekuatan peserta seramai 34 orang bersama dua orang pengiring telah bertolak ke Negeri Sembilan dengan menaiki bas sewa khas pada jam 10 malam 5 Jun 2009 dan tiba di tapak jambori tepat jam 9 pagi pada 6 Jun 2009. Selesai urusan pendaftaran, para peserta diminta mendirikan khemah yang akan menjadi tempat penginapan jambori berlangsung. Sementara menunggu ketibaan peserta-peserta lain, peserta jambori Kedah sempat bertaaruf sesama sendiri yang rata-ratanya baru kali pertama dikenali. Selepas taklimat program disampaikan oleh pengarah program yang juga merupakan pengarah KRIM pusat iaitu Mejar Nazri, para peserta dipecahkan kepada 12 kumpulan dan setiap kumpulan dibantu oleh seorang fasilitator. Sesi ice breaking dan team building yang diadakan pada sebelah petang ternyata berjaya merapatkan ukhuwwah sesama ahli kumpulan. Sebelah malam, diadakan slot pengenalan KRIM dan perasmian lagu baru KRIM yang akan dinyanyikan oleh peserta dalam semua program KRIM selepas ini. Pengisian ringkas tetapi penuh bersemangat turut disampaikan oleh Mejar Nazri yang berkisar tentang permasalahan remaja masa kini.

Sebahagian team Kedah
Hari kedua program, peserta telah bangun seawal jam 4 pagi untuk melaksanakan solat tahajjud berjemaah. Bacaan ma’thurat mengambil tempat selepas solat subuh dan dibaca beramai-ramai secara berkumpulan. Selepas senaman pagi dan latihan kawad, para peserta diuji ketahan fizikal mereka dengan mendaki Gunung Angsi yang terletak bersebelahan dengan tapak jambori. Selepas solat Zohor dan makan tengahari, diadakan pertandingan kawad, membina kubu dan memasak. Kreativiti dan bakat terpendam para peserta berjaya dicungkil dalam ketiga-tiga pertandingan yang dijalankan ini dan para peserta begitu bersemangat bagi memastikan kumpulan masing-masing memenangi pertandingan yang dijalankan. Pada sebelah malam hari kedua, para peserta diberi peluang untuk berbincang tentang persembahan kumpulan masing-masing dalam Malam Kesenian Islam yang bakal diadakan pada keesokan malam. Slot ringkas bersama ’lilin’ juga turut diadakan pada malam tersebut.

Senaman Pagi
Senaman pagi pada hari ketiga turut diadakan seperti pada hari kedua. Selesai sarapan pagi, para peserta mula bergerak ke luar tapak jambori untuk menyertai aktiviti amal khidmat masyarakat di masjid dan tanah perkuburan berhampiran dengan memakai baju jambori. Selepas solat Zohor, diadakan tiga pertandingan sukan iaitu war game, ball game dan water game. Ketiga-tiga permainan tersebut nyata memberi satu pengalaman baru kepada para peserta dan semangat kesukanan yang ditunjukkan ternyata membanggakan para urusetia walaupun setiap kumpulan berusaha untuk memenangi setiap pertandingan yang dipertandingkan. Malam Kesenian Islam yang diadakan pada sebelah malamnya yang turut dihadiri oleh Presiden ISMA dipenuhi dengan 1001 mesej dan iktibar untuk para remaja. Mesej yang disampaikan secara spontan melalui sketsa dan nasyid oleh setiap kumpulan peserta yang kebanyakannya berkisar tentang permasalahan remaja masa kini berjaya menambat hati para hadirin dan seterusnya meningkatkan kesedaran para remaja akan peri pentingnya menjaga hubungan dengan Allah dan sesama manusia demi mencapai kejayaan di dunia mahupun akhirat. Kumpulan Huzaifah dari negeri Kedah yang menamatkan persembahan mereka dengan bacaan doa yang penuh syahdu oleh saudara Fuad berjaya menggondol tempat kedua untuk malam kesenian tersebut.

Slot bersama Aman Palestin
Pagi hari keempat, aktiviti dimulakan dengan solat subuh secara berjemaah dan diikuti dengan bacaan ma’thurat secara berkumpulan. Slot tazkirah subuh diisi oleh Cikgu Ismail yang juga merupakan pengarah KRIM negeri Johor. Tazkirah yang berkisar tentang hati yang disampaikan secara bersahaja dan deselang-seli dengan aktiviti ringkas itu berjaya menarik minat semua peserta dan urusetia. Selesai bersarapan, perunding Aman Palestin, Prof. Madya Dr. Zainurrasyid mengisi slot seterusnya yang banyak berkisar tentang perjuangan remaja di Palestin dalam membebaskan tanahair mereka.
Majlis punutup Jambori Remaja Muslim Nasional 2009 pula disempurnakan oleh wakil pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS). Turut hadir dalam majlis penutup tersebut ialah Ustaz Abdullah Zaik selaku Presiden ISMA dan ketua kampung juga merangkap imam masjid Ulu Bendul. Pasukan kawad KRIM Kedah selaku johan kawad jambori kali ini turut diberi penghormatan untuk diperiksa perbarisan oleh wakil JHEAINS. Selain ucapan perasmian penutup, penyampaian hadiah juga diberikan kepada semua pasukan berdasarkan ranking keseluruhan jambori. Pasukan Huzaifah berjaya mendapat tempat keempat keseluruhan daripada 12 pasukan dan lebih membanggakan, saudara Fadhil yang mewakili KRIM Kedah telah dinobatkan sebagai peserta terbaik keseluruhan untuk jambori kali ini. Tahniah diucapkan kepada semua peserta amnya dan pasukan KRIM Kedah khususnya.

Peserta terbaik (saudara Fadhil)
KRIM Kedah mengucapkan tahniah kepada barisan urusetia jambori yang berjaya mengendalikan perjalanan jambori dengan begitu baik dengan dibantu oleh hampir 20 orang fasilitator berpengalaman dari Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) yang rata-ratanya merupakan penuntut di institusi pengajian tinggi tempatan. Kepada adik-adik peserta khususnya dari Kedah, kami mengharapkan ukhuwwah yang terjalin sesame peserta dapat diteruskan dan dirapatkan lagi dan sentiasa bersedia menzahirkan motto KRIM dalam kehidupan harian iaitu ‘ motivasi, iltizam, jatidiri ‘.
Mohd Khalil Hashim
Penolong Pengarah
KRIM Kedah
REHLAH KRIM 13 June, 2009
Posted by ismakedah in Aktiviti.add a comment

Tanggal 12 Jun 2009 bersempena dengan cuti sekolah, KRIM Kedah telah menganjurkan program “Tautan Hati“ bertempat di Taman Tasik Darulaman, Jitra. Dengan bertemakan ‘Tautan di hati, Ukhuwwah bersemi’, program santai ini telah mengumpulkan para remaja daripada pelbagai latar belakang dan sekolah. Aktiviti-aktiviti menarik telah diselitkan bagi membina ukhuwwah di kalangan para peserta dan juga AJK.
Seawal jam 8.00 pagi, para peserta telah berkumpul, mendaftar dan diberi masa untuk sarapan pagi terlebih dahulu. Kemudian, program diteruskan dengan ucapan alu-aluan serta tazkirah ringkas mengenai ukhuwwah. Untuk memecahkan benteng yang menghalang interaksi di antara para peserta, sesi ‘ice-breaking’ diadakan. Para peserta diminta mengingati nama dan sekolah setiap peserta, kemudian tanpa mengeluarkan suara mereka diminta menyusun diri masing-masing mengikut turutan abjad. Setiap kesalahan yang berlaku, semua peserta didenda dan diminta membetulkan urutan dalam masa yang ditetapkan. Ternyata, aktiviti ini telah berjaya mendekatkan jurang yang memisahkan mereka.
Acara diteruskan lagi dengan membahagikan para peserta kepada 3 kumpulan. Beberapa permainan yang melibatkan kerjasama dan ukhuwwah telah menautkan lagi hati-hati para peserta. Setiap permainan yang diadakan mempunyai objektif yang tersendiri dan peserta diminta memberi komen usai setiap permainan tersebut. Kegembiraan jelas terpancar di wajah mereka tak kurang juga yang kepenatan terutama selepas permainan terakhir iaitu menjaga ‘amanah’ masing-masing.

Program dirancakkan lagi dengan acara sukan air yang ditunggu-tunggu. Terik mentari langsung tidak menggugat keriangan para peserta. Masing-masing ‘mengayuh’ bot menyusuri tasik di samping menghayati keindahan alam ciptaan Allah SWT. Walaupun kaki terasa lenguh tetapi rata-rata peserta berasa gembira dan bersemangat memandangkan itu merupakan pengalaman pertama mereka.
Usai aktiviti sukan air, para peserta berkumpul untuk acara kemuncak iaitu bertukar-tukar hadiah yang diselang selikan dengan teka-teki. Setiap peserta dan AJK mencabut nombor masing-masing dan menerima hadiah mengikut nombor yang telah diperolehi. Walaupun acara ini berjalan dalam suasana yang sangat sederhana namun ia tetap meriah dan yang paling penting adalah keikhlasan setiap peserta dalam memberi dan menerima hadiah masing-masing. Kemudian, setiap peserta dan AJK diberi peluang untuk meluahkan perasaan masing-masing berkenaan program “ Tautan Hati “ ini. Sebelum pulang, perut diisi terlebih dahulu dengan makan tengah hari yang telah disediakan dan seperti yang dirancangkan program berakhir pada jam 12.00 tengah hari. (more…)
ISMA Kedah Terima Kunjungan Politeknik Kelantan 1 June, 2009
Posted by ismakedah in Aktiviti.add a comment
ISMA Kedah Terima Kunjungan Politeknik Kelantan
Jitra 31 Mei – Ikatan Muslimin Malaysia hari ini berbesar hati menerima kunjungan dari Politeknik Kelantan. Rombongan seramai 31 orang yang terdiri dari 10 pelajar lelaki dan 21 pelajar perempuan itu adalah dalam rangka lawatan sambil belajar ke negeri Kedah Darul Aman.
Rombongan dari Kelantan ini diberi sambutan mesra di pejabat ISMA di Bandar Darulaman, Jitra Kedah. Bermula dengan sesi jamuan, diikuti dengan sesi taaruf seterusnya tazkirah ringkas oleh Ustaz Fisol Bin Md. Isa dan majlis diakhiri dengan sesi bertukar-tukar cenderamata dan sesi bergambar.
ISMA Kedah amat merasa berbesar hati menerima kunjungan ini dan berharap agar perkenalan ini akan dapat menghasilkan ikatan ukhuwwah yang berpanjangan sehingga akhir hayat.
Mus’ab Bin Umair : Pemuda Dakwah Mengubah Sejarah 1 June, 2009
Posted by ismakedah in Aktiviti.2 comments

Mus’ab adalah pendakwah yang hebat, penuh kesungguhan dan kebijaksanaan, antara kisah yang masyhur dan telah diriwayatkan dalam kitab muktabar seperti Hayatus Sahabah karangan Sheikh Yusuf Al Kandahlawi dan Raheeq Makhtum, karangan Safiyyur Rahman Al Mubarakfuri berkenaan pengembaraan dakwah Mus’ab di Madinah adalah kisah pengislaman Saad Bin Muadz dan Usaid Bin Hudair, dua tokoh pemimpin dan golongan elit Madinah.
Driwayatkan bahawa suatu hari telah keluar bersama As’ad Bin Zurarah ke sebuah perkampungan Bani Zafar. Mereka duduk di tepi perigi Marq dan Mus’ab mengajarkan tentang Islam kepada golongan yang baru memeluk Islam.
Kelibat mereka telah dilihat oleh Saad Bin Muadz dan Usaid Bin Hadhir, lantas Saad mengarahkan Usaid agar menghalau Mus’ab dan halaqahnya dari situ. Saad membentak Usaid dengan berkata :
“Lihatlah dua pemuda itu yang telah memperbodohkan golongan-golongan kita, ayuh kau halaukan mereka dari sini, kalaulah bukan kerana As’ad Bin Zurarah itu anak saudaraku, nescaya aku sendiri yang akan menghalaunya” (more…)
Mukhayyam Dakhili 1 June, 2009
Posted by ismakedah in Wanita & Keluarga.1 comment so far
Jitra, 28 – 30 Mei – Biro Wanita dan Keluarga ISMA Kedah telah mengadakan program mukhayyam dakhili yang bertema kukuhkan ukhuwwah, mantapkan dakwah! bertempat di Tadika Nur Tasnim, Jitra, Kedah. Berobjektifkan untuk melahirkan wanita muslimah yang berlandaskan qudwah sahabiah, program ini berjaya menarik seramai 30 hadirin terdiri daripada pelbagai lapisan peringkat usia iaitu dari wanita ISMA sehinggalah kepada akhawat PEMBINA dan akhawat KRIM.
Mukhayyam ini bermula dengan solat Isya’ secara berjemaah kemudian disusuli dengan slot ice breaking. Slot ini menghendaki setiap peserta menghafal nama, asal dan tarikh lahir kesemua peserta. Program pada malam tersebut diakhiri dengan tadarrus Al-Quran secara berkumpulan. (more…)
Mus’ab Bin Umair:Harum Namanya di Lantai Sirah 25 May, 2009
Posted by ismakedah in Aktiviti.add a comment

Maqam Syuhada Uhud, Tempat Mus'ab Bin Umair Bersemadi
“Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak merubah (janjinya)”
Al Ahzab : 23
Ketika mana jasadnya hendak disemadikan, tiada kain kafan yang mencukupi untuk menutup tubuhnya, ditutup kepala, kakinya akan terdedah, ditutup kaki, kepalanya pula akan terdedah. Akhirnya ditutup kepalanya dan kakinya ditutupi dengan rumput-rumput kering. Itulah pengakhiran kehidupan dunia buat Mus’ab Bin Umair, belia contoh sepanjang zaman. Allah akan menepati janjinya pada mereka yang berkorban untuk agama seperti ini, bagi mereka, syurga yang tertinggi. (more…)





