Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kedah

Entries categorized as ‘Kesihatan’

KANSER PANGKAL RAHIM DAN VAKSIN HPV

7 October, 2009 · 1 Comment

cervic

KANSER PANGKAL RAHIM  DAN VAKSIN HPV

Baru-baru ini kabinet telah meluluskan satu peruntukan yang besar melibatkan RM150 juta setahun meliputi 300,000 remaja perempuaan  pada setiap tahun, bagi pembelian vaksin Human Papilloma Virus ( HPV ). Penggunaan vaksin ini diharapkan dapat mencegah berlakunya  kanser pangkal rahim ( servik ). Pelbagai pihak menyambut baik langkah yang telah diumumkan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengajak para pembaca sekelian menambahkan sedikit ilmu kita dalam bidang perubatan dan seterusnya menilai langkah yang telah diumumkan oleh kerajaan itu.

Kanser servik ataupun kanser pangkal rahim merupakan kanser organ reproduktif wanita yang paling utama dan kanser wanita yang kedua paling kerap berlaku selepas kanser payudara. Kanser servik merupakan kanser yang boleh dicegah dan kunci kepada pencegahannya adalah melalui ujian saringan pap smear. Di negara-negara maju, kanser ini sangat jarang berlaku disebabkan oleh kesedaran dan langkah pencegahan yang diamalkan tetapi di negara kita kejadian dan kematian disebabkan oleh kanser ini adalah masih tinggi.

Punca terjadinya prakanser dan kanser servik adalah disebabkan oleh jangkitan virus yang dinamakan Human Papilloma Virus ( HPV ). Kajian menunjukkan 99.7% daripada kanser servik mempunyai kaitan secara langsung dengan virus HPV ini. Terdapat lebih 100 jenis virus HPV dan ianya boleh dibahagikan kepada virus HPV berisiko rendah yang menyebabkan kutil atau wart dan virus HPV berisiko tinggi yang berkait rapat dengan prakanser dan kanser. Virus ini berkeupayaan untuk memasuki sel permukaan servik dan melepaskan DNA mereka untuk bercantum dengan DNA sel permukaan servik dan seterusnya terjadi pembiakan sel-sel di luar kawalan. Bagi kebanyakan wanita (lebih kurang 80%) yang sihat dan normal serta mengamalkan seks yang baik (tidak berbilang pasangan), mereka dapat menghapuskan jangkitan HPV ini dan bebas daripada mendapat prakanser dan kanser.

Seandainya jangkitan virus ini dapat dicegah, sudah tentu ini dapat mencegah dari terjadinya kanser dan prakanser. Sejenis vaksin HPV telah dicipta oleh saintis yang berupaya untuk mencegah jangkitan terhadap virus HPV. Vaksin HPV yang dinamakan Gardasil dan Cervarix telah diluluskan oleh ‘Federation of Drug Administration’ ( FDA dan ratusan negara di seluruh dunia telah meluluskan penggunaan vaksin ini termasuk Malaysia. Vaksin ini perlu diberi sebanyak 3 kali dalam masa 6 bulan kepada wanita seawal usia 9-26 tahun. Suntikan vaksin ini akan meransang sistem pertahanan badan untuk menghasilkan antibodi terhadap virus HPV yang terkandung dalam vaksin tersebut. Antibodi ini akan menghalang kemasukan atau jangkitan virus HPV ke atas wanita tersebut. Kesan maksima daripada vaksin ini cuma akan diperolehi oleh wanita yang belum terdedah kepada hubungan seks. Sebaik-baiknya vaksin ini diberikan ketika mereka berada pada peringkat awal remaja.

Namun, perlu diingat walaupun vaksin ini berkesan mencegah jangkitan virus HPV yang menjadi punca kanser servik, kesan akhir terhadap pengurangan insiden kanser ini cuma akan dapat dilihat selepas 15-20 tahun program perlalian berjalan. Ujian saringan Pap Smear MASIH perlu dijalankan kerana vaksin ini cuma mencegah 70% daripada kanser servik.

Langkah vaksinasi HPV yang diumumkan oleh kerajaan adalah satu yang baik walaupun ia mempunyai implikasi kewangan yang banyak namun pada masa yang sama masyarakat perlu diberi kesedaran tentang penyakit kanser servik serta langkah pencegahan sekundernyanya melalui ujian saringan Pap smear. Masyarakat perlu mengetahui tentang faktor risiko kanser servik dan seterusnya melalui amalan hidup yang sihat  dapat mengurangkan risiko untuk mendapat kanser serviks. Berikut adalah beberapa kaedah yang boleh diamalkan untuk mencegah kanser serviks;

  1. Menambahkan ILMU tentang prakanser dan kanser serviks
  2. Menjalani ujian saringan pap smear (ini merupakan kaedah berkesan MENCEGAH kanser serviks)
  3. Mengamalkan GAYA HIDUP SIHAT seperti senaman dan pemakanan seimbang. Buah-buahan dan sayuran mengandungi banyak antioksida yang boleh mencegah kanser
  4. Mengelakkan daripada tabiat merokok. Bahan-bahan dalam rokok adalah agen prakanser
  5. Suami yang berkhatan boleh mengurangkan jangkitan virus HPV kepada wanita
  6. Mengamalkan hubungan seks yang sihat dan SELAMAT/SAH. Hubungan seks yang dilakukan secara rambang dan dengan ramai pasangan boleh meningkatkan risiko kanser serviks
  7. Vaksin HPV

Saya meyambut baik pengumuman kerajaan untuk program vaksinasi ini. Alhamdulillah, 2 anak perempuan remaja saya akan mendapat faedah dari program vaksinasi ini. (Jika kerajaan tidak memberinya, saya memang bercadang untuk membelinya dari hospital swasta untuk anak-anak perempuan saya pada kos yang ……memang mahal). Namun, pada masa yang sama, penerapan dari aspek pencegahan lain perlu dititikberatkan dan diberi perhatian.

Remaja juga perlu dinasihati vaksin HPV bukanlah tiket untuk amalan seks bebas. Ianya mencegah dari HPV tapi seks bebas mengundang pelbagai penyakit lain; hepatitis, AIDS, syphilis, gonorrhea dan bermacam-macam lagi. Asas kepada pencegahan adalah menjauhi amalan-amalan yang tidak sihat dan menjalani kehidupan selaras dengan tuntutan agama kerana itulah dalam Islam pencegahan lebih utama dari perawatan.

 

Selamat membaca dan untuk anak remaja- selamat “bervaksinasi”.    

 

Dr Murizah Mohd Zain

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi

Hospital Sultanah Bahiyah

Alor Setar, Kedah

Categories: Kesihatan

Siri Kesihatan Isma Kedah : Infertiliti (Ketidaksuburan)

14 September, 2009 · Leave a Comment

Dr.MuriBerikut adalah wawancara Radio Kedah FM bersama Dr. Murizah Zain, pakar perunding bahagian reproduktif di Hospital Sultanah Bahiyah merangkap ahli wanita Isma Kedah. Moga tulisan beliau ini ada manfaatnya untuk pasangan yang belum mendapatkan zuriat walaupun telah lama berkahwin.

 Apakah yang dimaksudkan dengan infertility (ketidaksuburan)?

 Infertiliti bermaksud tidak subur. 1 dari 8 pasangan atau 15% dari pasangan mungkin mengalami kesukaran untuk mendapatkan anak. Pasangan dikatakan kurang subur jika setelah tempoh setahun berkahwin dan cuba untuk mendapatkan anak, pasangan masih belum berupaya untuk hamil. Ketidaksuburan berbeza dengan kemandulan. Hanya sedikit sahaja pasangan yang tidak subur adalah mandul. Kebanyakan kes ketidaksuburan dapat dibantu sementara bagi kes-kes yang mandul, rawatan adalah sukar dan peluang untuk mendapat anak adalah tipis. Saya akan ceritakan nanti perbezaan keduanya.

 Apakah yang harus dilakukan oleh pasangan yang tidak subur?

 Jika pasangan telah berusaha dalam tempoh setahun, tetapi belum dikurniakan anak, pasangan dinasihati supaya berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan dan mendapatkan rawatan. Jika pasangan telah berusia lewat, misalnya lebih dari 35 tahun bagi wanita, dinasihati berjumpa doktor lebih awal misalnya selepas 6 bulan mencuba. Begitu juga bagi pasangan yang memang telah dikesan menghidap penyakit yang melibatkan organ pembiakan wanita misalnya endometriosis, fibroid atau ketidakstabilan hormon wanita, pesakit dinasihati mendapat rawatan lebih awal jika sukar untuk hamil.

 Apakah yang akan dilakukan sewaktu perjumpaan dengan doktor?

 Doktor akan berjumpa kedua-dua pasanagn serentak dan melakukan temubual serta pemeriksaan untuk mengenalpasti masalah. Untuk hamil, ada 3 perkara asas yang perlu iaitu benih lelaki yang cukup dan normal, pengeluaran telur atau benih wanita secara berkala setiap bulan dan tiub fallopian ( bahagian yang menyambungkan antara rahim dan kilang telur wanita) yang tidak tersumbat. Ini kerana pertemuan benih lelaki dan wanita terjadi di dalm tiub fallopian Biasnaya ada beberapa ujian asas yang perlu dilakukan untuk menentukan kesuburan.

 Apakah ujian-ujian yang akan dilakukan pada pasangan lelaki dan perempuan?

 Bagi pasangan lelaki, temujanji akan dibuat untuk ujian analisa airmani dimana pasanagn lelaki perlu mengeluarkan air mani dan seterusnya dihantar ke makmal untuk analisa. Analisa airmani ini melibatkan kiraan jumlah sperma iaitu benih lelaki dan analisa pergerakan serta bentuk morfologi sperma tersebut. Air mani yang normal ialah apabila jumlah sperma melebihi 20 juta dalam 1 ml dan 50% menunjukkkan pergerakan dan bentuk morfologi yang normal.

 Bagi pasangan perempuan pula, jika dia mempunyai haid yang teratur, pada kebiasanya dia mengeluarkan telur secara teratur. Ini boleh dikesan dengan melakukan ujian darah pada hari ke 21 haid (bagi kittaran haid 28 hari) atau melalui ujian imbasan ultrasound pada beberapa hari dalam sebulan.

 Jika ujian airmani adalah normal dan ujian darah menunjukkkan wanita juga mengeluarkan telur, ujian seterusnya yang akan dilakukan adalah pemeriksaan tiub fallopian. Ini boleh dilakukan secara X-Ray melalui prosedur yang dikenal sebagai HSG di mana pewarna imbasan akan disuntik melalui pangkal rahim dan imej diambil untuk melihat bukaan tiub fallopian. Ianya juga boleh dilakukan secara pembedahan kecil yang dikenali sebagai laparoskopi dimana kamera dimasukkan emlalui tebukan kecil di pusat dan seterusnya dye disuntik melalui pangkal rahim. Sekiranya tiub fallopian tidak tersumbat, dye akan dilihat keluar melalui hujung tiub fallopian.

 Apakah penyebab ketidaksuburan dan kemandulan?

 Wanita dan lelaki boleh menjadi peneybab infertiliti. 30% dari penyebabnya berpunca dari masalah pada lelaki, 30% disebabkan keabnormalan pada hormon dan menyebabkan telur wanita tidak dihasilkan dengan baik, 10% disebabkan sumbatan pada tiub fallopian, 15% disebabkan oleh masalah endometriosis smentara dalam 10-15% tiada punca dapat dikenalpasti melalui ujian asas yang telah dilakukan.

 Kes-kes yang mandul adalah sangat jarang. Mandul bermakna tiada benih pada pasangan lelaki atau dalm terminologi kesihatan dikenali sebagai azospermia manakala seorang wanita juga boleh menjadi mandul apabila beliau tidak mempunyai kilang telur, atau kilang telur telah berhenti berfungsi dan dikenali sebagai premature menopause atau ti dak mempunyai rahim samada dilahirkan dengan tiada rahim ataupun rahim terpaksa dibuang disebabkan oleh masalah tertentu.

 Setelah pemeriksaan dilakukan, apakah rawatan yang akan diberi?

 Rawatan yang diberi adalah bergantung kepada penyebab ketidaksuburan. Jika masalahnya adalah berpunca dari ketidakstabilan hormon dan pengeluaran telur pada wanita, ubat penyubur kesuburan akan diberi. Contoh ubat peyubur kesuburan adalah seperti ubat clomid yang akan diberi dalam beberapa hari dalam sebulan seterusnya ujian imbasan ultrasound akan dilakukan untuk melihat perkembangan telur. Sekiranya infertiliti disebabkan oleh keabnormalan pada sperma yang minor atau endometriosis yang minor atau semua ujian adalah normal, kaedah rawatan seperti IUI dapat membantu.

 Apa maksud doktor bila meyebut IUI?

 IUI (intruuterine insemination) atau permanian berhadas adalah satu kaedah di mana benih suami yang telah dibersihkan dimasukkan ke dalam rahim pada waktu ovulasi /penegeluaran telur hampir terjadi. IUI meningkatkan kemungkinan untuk mengandung melalui 3 cara; bantuan hormon yang diberi untuk meningkatkan kualiti telur yang terhasil serta kualiti lapisan dinding rahim, sperma yang berkualiti yang telah dibersihkan dan diasingkan dari sel-sel mati, dan sperma diletakkan di dalam rahim ketika ovulasi hampir terjadi. Peratus kejayaan melalui kaedah IUI adalah di sekitar 15-20%. Di Hospital Alor Setar, tahun lepas sebanyak 190 kes menjalani IUI dan peratus kehamilan adalah 17% .

Bagaimana pula dengan bayi tabung uji?

 Bayi tabung uji bermaksud persenyawaan berlaku di luar rahim di mana benih lelaki dan benih wanita pasangaannya akan disenyawakan di dalam makmal. Ini melibatkan beberapa langkah termasuk pemberian ubat-ubatan untuk merangsang pengeluaran telur, prosedur pengambilan telur, persenyawaan benih di dalam makmal dan pembesaran embrio( janin peringkat awal) di dalam mamal dan memasukkan semula benih yang tersenyawa di dalam rahim. Bayi tabung uji digunakan buat pesakit yang mengalami sumbatan tiub fallopian, benih/sperma yang kurang, penyakit endometriosis dan juga pesakit-pesakit yang gagal menjalani prosedur IUI. Alhamdulillah, hospital Alor Setar merupakan hospital kerajaan kedua yang menyediakan perkhidmatan ini dengan kos yang berpatutan. Setidak-tidaknya, kita dapat membantu pasangan yang bermasalah bagi mencapai impian mereka untuk mempunyai zuriat yang mana jika prosedur bayi tabung uji ini dilakakukan di hospital swasta ianya menelan belanja belasan ribu ringgit.

 Sebelum doktor berundur, ada apa-apa pesanan doktor unutk para pendengar?  

 Saya ingin menasihati para pendengar khususnya yang mempunyai masalah dari segi kesuburan supaya berjumpa doktor seawal mungkin kerana semakin lama kita menunggu dan semakin berumur, kesuburan seseorang akan berkurangan. Rawatan awal adalah lebih baik dan akan meningkatkan peluang untuk berjaya. Saya juga ingin menasihati supaya pasangan bersabar dan banyak berdoa di sepanjang menjalani rawatan kesuburan. Di samping ikhtiar kita dari sudut perubatan doa juga adalah sebahagian dari ikhtiar yang perlu kita lakukan.

 

Dr. Murizah Mohd Zain

Ketua Unit Perubatan Reproduktif

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi

Hospital Sultanah Bahiyah

Categories: Kesihatan

Siri Kesihatan – Merancang Keluarga Melalui Kaedah Implanon

16 May, 2009 · 1 Comment

Setiap keluarga seharusnya merancang jumlah anak yang diinginkan dan jarak antara setiap kehamilan. Merancang keluarga adalah perlu bagi memastikan bahawa seseorang ibu itu berada pada tahap kesihatan yang memuaskan sebelum mengandung. Jarak yang sesuai antara setiap kehamilan adalah lebih kurang 3 tahun. Tempoh 3 tahun ini dapat memberi peluang dan hak kepada anak untuk menyusu dan juga memastikan bahawa simpanan nutrient ibu seperti zat besi, kalsium dan lain-lain yang telah digunakan pada kandungan yang lalu telah kembali ke tahap yang normal.

345970074l

Terdapat berbagai-bagai kaedah merancang keluarga seperti penggunaan pil perancang, alat dalam rahim, kaedah suntikan dan kaedah “barrier” seperti kondom dan diaphgram. Kaedah seperti pengiraan waktu subur dan azal walaupun lebih natural, tetapi peratus kegagalan kedua-dua kaedah ini adalah lebih tinggi.

Implanon merupakan sejenis kaedah terbaru di mana ianya mula diperkenalkan di Malaysia pada April 2002. Implanon merupakan sejenis rod sebesar batang mancis yang dimasukkan di bawah kulit lengan atas melalui suntikan. Rod ini akan mengeluarkan sejenis hormon progestogen iaitu etonogesterol pada kadar yang sama setiap hari untuk tempoh 3 tahun. Selepas tempoh 3 tahun, rod ini tidak berkesan lagi dan perlu dibuang. Kedua-dua prosedur iaitu pemakaian dan pembuangan implanon boleh dibuat di klinik, memerlukan hanya bius setempat dan prosedur kedua-duanya tidak melebihi 5 minit. (more…)

Categories: Kesihatan

Siri Kesihatan Isma Kedah-Fibroid

14 October, 2008 · 3 Comments

Fibroid atau nama saintifiknya “leiomyoma” adalah sejenis ketumbuhan yang terjadi pada rahim. Fibroid adalah ketumbuhan yang sering terjadi pada wanita sehingga dianggarkan lebih kurang 20% dari wanita mempunyai fibroid. Punca sebenar fibroid tidak dapat dikenalpasti tetapi kemungkinan besar bersangkut dengan hormon estrogen iaitu hormon yand dihasilkan oleh kilang telur. Justeru itu fibroid akan mengecut selepas putus haid dimana pada waktu itu hormon estrogen berada pada tahap yang sangat rendah. Faktor risiko lain untuk mendapat fibroid adalah mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai fibroid dan mempunyai bilangan anak yang sedikit atau tiada anak. (more…)

Categories: Kesihatan · Wanita

Siri Kesihatan ISMA Kedah- Pendarahan di peringkat awal mengandung

3 August, 2008 · Leave a Comment

Seseorang wanita yang mengandung boleh mengalami gejala pendarahan di awal usia kandungannya. Pendarahan ini boleh terjadi disebabkan oleh beberapa sebab seperti keguguran, kandungan luar rahim (ectopic) atau kandungan anggur (molar pregnancy). (more…)

Categories: Kesihatan · Wanita