Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kedah

BAITUL MUSLIM

4 August, 2009 · Leave a Comment

baitul_muslim

Sempena merasmikan Pejabat ISMA Kedah yang baru, berlokasi di Bandar Darul Aman, Jitra, Biro Wanita ISMA Kedah telah berjaya menganjurkan program Baitul Muslim pada 1 Ogos 2009 lalu. Selari dengan itu sekalung penghargaan juga buat ikhwah-ikhwah  yang bertungkus lumus mengembleng tenaga menyiapkan pejabat baru bagi memastikan program dapat diadakan ditempat baru, yang tentunya memberi lebih keselesaan berbanding yang sebelumnya. Jazakumullah khairan jaza’. 

‘Melahirkan institusi keluarga duah yang berjaya’ telah diangkat sebagai antara objektif pada program yang meraih keanggotaan daripada 30 orang ahli ISMA yang berada disekitar negeri Kedah. Program ini adalah dikhususkan kepada ahli yang telah melalui fasa baitul muslim. Program yang dijadualkan bermula pada jam 8.30 pagi itu terpaksa ditunda sehingga ke jam 12.00 tengahari berikutan perubahan pada jadual penerbangan penceramah. Sepanjang menanti kehadiran penceramah, majlis dengan dikepalai oleh YDP ISMA Kedah, Dr Zulkifli mengadakan sedikit slot perbincangan sesama hadirin perihal kaedah untuk mendidik anak-anak. Perbincangan berlangsung dengan jayanya dimana para hadirin berkongsi segala ilmu dan pandangan sebagai panduan kepada hadirin yang menyertai program kali ini.

 Slot rasmi pertama bermula kira-kira jam 12.00 tengahari di mana penceramah iaitu Ustaz Anuar b. Soleh membentangkan pengisian yang bertajuk ‘Komunikasi dalam Rumahtangga’. Penyampaian yang bersahaja dengan diselang seli pelbagai tips  yang mengenengahkan tentang perkara yang perlu ada pada setiap pasangan. Antaranya setiap pasangan perlu menguruskan konflik yang wujud dengan cara yang berhemah dan berhikmah. Sepertimana yang adatnya setiap rumahtangga tidak dapat lari dari berhadapan dengan konflik sama ada kecil atau besar. Untuk menghadapinya penceramah menekankan agar setiap pasangan menyenaraikan setiap konflik yang berlaku. Setiap konflik yang wujud haruslah diselesaikan satu demi satu mengikut apa yang telah disenaraikan. Kaedah ini amat penting bagi mengelakkan setiap masalah terpendam dan kelamaan akan dikhuatiri menjadi satu konflik yang lebih besar. Elemen yang perlu ada dalam diri pasangan untuk berdepan dengan konflik seperti berterus terang, mewujudkan situasi menang-menang dan berjanji untuk berubah merupakan batu asas yang penting dalam menjayakan komunikasi sesebuah rumahtangga. Seterusnya majlis membuka soalan kepada hadirin untuk mengemukakan sebarang kemusykilan berkaitan dengan tajuk yang telah dibentangkan.

 Majlis berhenti rehat pada jam 1.00 tengahari untuk memberi laluan kepada solat Zuhur dan makan tengahari. Tepat jam 2.00 petang majlis kembali dihangatkan dengan tajuk yang kedua iaitu ‘Pendidikan Anak-Anak’. Penceramah, Ustaz Anuar Soleh dalam penerangannya, membahagikan tanggungjawab pendidikan kepada tiga peringkat iaitu tanggungjawab sebelum kelahiran, semasa kelahiran dan selepas kelahiran.  Fasa sebelum kelahiran adalah bermula dari pemilihan jodoh sehinggalah anak tersebut lahir. Apabila kelahiran terjadi maka bermulalah peranan ibubapa sebagai murabbi dalam mentarbiyah anak serta keluarga. Hadirin ditekankan agar menyemai tarbiyah ruhiyyah ketika diawal usia anak-anak kerana inilah waktu yang terbaik untuk mereka. Sebagai ibubapa kita tidak seharusnya menyekat naluri keanak-anakan anak-anak kita, sebaliknya kita perlu sentiasa bersedia memberi infomasi yang betul terhadap sebarang persepsi yang wujud dalam minda anak-anak ketika diusia sebelum baligh. Sejajar dengan itu ibubapa perlu menyediakan diri kearah situasi tersebut dengan menimba ilmu supaya anak-anak akan tersemai dengan akhlak dan suluk yang terpuji. Setelah anak baligh barulah ibubapa perlu menanam tarbiyah aqliah sebagai pelengkap kepada tarbiyah ruhiyyah yang telah diperolehi sebelumnya. Seterusnya majlis membuka soalan kepada hadirin untuk mengemukakan sebarang kemusykilan.

Di akhir majlis, pihak penganjur menyampaikan cenderahati kepada penceramah dan majlis berakhir pada jam 4.00 petang. Program yang berlangsung telah berjaya menambat hati hadirin yang rata-rata berpuas hati dengan penyusunan dan pengisian program tersebut. Tahniah diucapkan kepada Biro Wanita kerana berjaya menganjurkan program baitul muslim yang dapat memberi sentuhan rohani dan jasmani. Semoga para hadirin dapat menggarap sebanyak mungkin manfaat daripada pengisian yang telah disampaikan untuk diterjemahkan dalam kehidupan masing-masing. Maasalamah wa ilalliqa’

UMMU HUDZAIFAH

Categories: Aktiviti

0 responses so far ↓

  • There are no comments yet...Kick things off by filling out the form below.

Leave a Comment