Mukhayyam Dakhili 1 June, 2009
Posted by ismakedah in Wanita & Keluarga.trackback
Jitra, 28 – 30 Mei – Biro Wanita dan Keluarga ISMA Kedah telah mengadakan program mukhayyam dakhili yang bertema kukuhkan ukhuwwah, mantapkan dakwah! bertempat di Tadika Nur Tasnim, Jitra, Kedah. Berobjektifkan untuk melahirkan wanita muslimah yang berlandaskan qudwah sahabiah, program ini berjaya menarik seramai 30 hadirin terdiri daripada pelbagai lapisan peringkat usia iaitu dari wanita ISMA sehinggalah kepada akhawat PEMBINA dan akhawat KRIM.
Mukhayyam ini bermula dengan solat Isya’ secara berjemaah kemudian disusuli dengan slot ice breaking. Slot ini menghendaki setiap peserta menghafal nama, asal dan tarikh lahir kesemua peserta. Program pada malam tersebut diakhiri dengan tadarrus Al-Quran secara berkumpulan.
Tazkirah pertama telah disampaikan oleh ukhti Hasifah telah membawa hadirin menyorot kembali kisah sahabiah iaitu Fatimah binti Asad, yang sangat mengasihi Rasulullah s.a.w. melebihi anak kandungnya sendiri. Hadirin juga didedahkan tentang betapa Fatimah adalah seorang yang mulia dan cekal hati dalam mendidik anak saudaranya dicelah kesempitan hidup yang terpaksa dilaluinya.
Seterusnya slot yang pertama telah diisi oleh Ustazah Junainah yang membawa hadirin kepada kisah perjuangan sahabiah-sahabiah dalam memelihara akidah. Menyoroti kisah Khadijah r.a, Ummu Syuraik, Zinnirah dan beberapa sahabaiah lain, mereka terpaksa mendepani pelbagai mehnah dan tribulasi dalam mendokong akidah yang suci. Tiada suatu pun perkara dapat merubah kalimah tauhid yang berpaksi kukuh dalam diri sahabiah.
Program Mukayyam akhawat dipanaskan lagi dengan slot ‘beauty and fitness’ dimana para peserta telah didedahkan dengan pelbagai tips teknik untuk menjaga kesihatan dan kecantikan. Slot ini mendapat tunjuk ajar daripada Pakar Kecantikan, Puan Izyan yang didatangkan khas dari Pusat Kecantikan Izyan, Alor Setar. Beliau juga turut berkongsi maklumat-maklumat yang berguna tentang pemilihan produk dandanan diri yang suci dan selamat.
Acara memasak yang dikepalai oleh Ukhti Rohaida menjadi antara slot yang ditunggu-tunggu pada sebelah malam. Berasaskan menu ala Western, hadirin begitu teruja sekali mendalami ilmu dan teknik-tekniknya. Seterusnya pada keesokkan harinya, Ukhti Rohaizah menerusi tazkirah subuh sekali lagi membawa hadirin kepada kehidupan seorang sahabiah, Ummu Salamah yang tidak kurang hebatnya dalam menempuh pelbagai rintangan, cacian dan hinaan ekoran daripada keputusannya untuk bersama akidah yang di bawa Rasulullah s.a.w.
Slot terakhir menyusul, Ustazah Siti Rahmah binti Rahmat, seorang ustazah yang tidak asing lagi dengan begitu bersemangat membentang mengenai Wanita, Kerjaya, Rumahtangga dan Dakwah. Pengisian yang mendapat respon dari para hadirin menjadikan suasana berjalan dengan agak santai namun penuh dengan informasi yang bermanfaat dan berguna buat bekalan para peserta yang menyertai mukhayyam pada kali ini. Tahniah diucapkan kepada Biro Wanita dan Keluarga kerana berjaya menganjurkan mukhayyam yang dapat memberi sentuhan rohani dan jasmani. Semoga para hadirin dapat menggarap sebanyak mungkin manfaat daripada pengisian yang telah disampaikan untuk diterjemahkan dalam kehidupan masing-masing.




tahniah atas program tersebut…ana berharap dakwah ini akn terus mengalir mencapai redha ALLAH….