jump to navigation

Jambori Remaja Muslim Nasional 2009 – Muda untuk Berjasa 14 June, 2009

Posted by ismakedah in Aktiviti, Krim.
6 comments
peserta jambori Kedah bersama fasi
Peserta jambori Kedah bersama fasi
pertandingan kawad
Pertandingan kawad

Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) buat julung kalinya berjaya menganjurkan Jambori Remaja Muslim Nasional bertempat di Hutan Lipur Ulu Bendul, Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada 6 hingga 9 Jun 2009. Bertemakan “Muda untuk Berjasa”, jambori kali ini berjaya mengumpulkan hampir 300 orang remaja lelaki seluruh Malaysia untuk berkampung selama 4 hari 3 malam di Hutan Lipur Ulu Bendul.

KRIM cawangan negeri Kedah tidak ketinggalan untuk sama-sama menyahut cabaran menyertai jambori ini. Pasukan KRIM Kedah dengan kekuatan peserta seramai 34 orang bersama dua orang pengiring telah bertolak ke Negeri Sembilan dengan menaiki bas sewa khas pada jam 10 malam 5 Jun 2009 dan tiba di tapak jambori tepat jam 9 pagi pada 6 Jun 2009. Selesai urusan pendaftaran, para peserta diminta mendirikan khemah yang akan menjadi tempat penginapan jambori berlangsung. Sementara menunggu ketibaan peserta-peserta lain, peserta jambori Kedah sempat bertaaruf sesama sendiri yang rata-ratanya baru kali pertama dikenali. Selepas taklimat program disampaikan oleh pengarah program yang juga merupakan pengarah KRIM pusat iaitu Mejar Nazri, para peserta dipecahkan kepada 12 kumpulan dan setiap kumpulan dibantu oleh seorang fasilitator. Sesi ice breaking dan team building yang diadakan pada sebelah petang ternyata berjaya merapatkan ukhuwwah sesama ahli kumpulan. Sebelah malam, diadakan slot pengenalan KRIM dan perasmian lagu baru KRIM yang akan dinyanyikan oleh peserta dalam semua program KRIM selepas ini. Pengisian ringkas tetapi penuh bersemangat  turut disampaikan oleh Mejar Nazri yang berkisar tentang permasalahan remaja masa kini.

sebahagian team kedah 2

Sebahagian team Kedah

 Hari kedua program, peserta telah bangun seawal jam 4 pagi untuk melaksanakan solat tahajjud berjemaah. Bacaan ma’thurat mengambil tempat selepas solat subuh dan dibaca beramai-ramai secara berkumpulan. Selepas senaman pagi dan latihan kawad, para peserta diuji ketahan fizikal mereka dengan mendaki Gunung Angsi yang terletak bersebelahan dengan tapak jambori. Selepas solat Zohor dan makan tengahari, diadakan pertandingan kawad, membina kubu dan memasak. Kreativiti dan bakat terpendam para peserta berjaya dicungkil dalam ketiga-tiga pertandingan yang dijalankan ini dan para peserta begitu bersemangat bagi memastikan kumpulan masing-masing memenangi pertandingan yang dijalankan. Pada sebelah malam hari kedua, para peserta diberi peluang untuk berbincang tentang persembahan kumpulan masing-masing dalam Malam Kesenian Islam yang bakal diadakan pada keesokan malam. Slot ringkas bersama ’lilin’ juga turut diadakan pada malam tersebut. 

senaman pagi

Senaman Pagi

Senaman pagi pada hari ketiga turut diadakan seperti pada hari kedua. Selesai sarapan pagi, para peserta mula bergerak ke luar tapak jambori untuk menyertai aktiviti amal khidmat masyarakat di masjid dan tanah perkuburan berhampiran dengan memakai baju jambori. Selepas solat Zohor, diadakan tiga pertandingan sukan iaitu war game, ball game dan water game. Ketiga-tiga permainan tersebut nyata memberi satu pengalaman baru kepada para peserta dan semangat kesukanan yang ditunjukkan ternyata membanggakan para urusetia walaupun setiap kumpulan berusaha untuk memenangi setiap pertandingan yang dipertandingkan. Malam Kesenian Islam yang diadakan pada sebelah malamnya yang turut dihadiri oleh Presiden ISMA dipenuhi dengan 1001 mesej dan iktibar untuk para remaja. Mesej yang disampaikan secara spontan melalui sketsa dan nasyid oleh setiap kumpulan peserta yang kebanyakannya berkisar tentang permasalahan remaja masa kini berjaya menambat hati para hadirin dan seterusnya meningkatkan kesedaran para remaja akan peri pentingnya menjaga hubungan dengan Allah dan sesama manusia demi mencapai kejayaan di dunia mahupun akhirat. Kumpulan Huzaifah dari negeri Kedah yang menamatkan persembahan mereka dengan bacaan doa yang penuh syahdu oleh saudara Fuad berjaya menggondol tempat kedua untuk malam kesenian tersebut.  

slot bersama Aman Palestin

Slot bersama Aman Palestin

Pagi hari keempat, aktiviti dimulakan dengan solat subuh secara berjemaah dan diikuti dengan bacaan ma’thurat secara berkumpulan. Slot tazkirah subuh diisi oleh Cikgu Ismail yang juga merupakan pengarah KRIM negeri Johor. Tazkirah yang berkisar tentang hati yang disampaikan secara bersahaja dan deselang-seli dengan aktiviti ringkas itu berjaya menarik minat semua peserta dan urusetia. Selesai bersarapan, perunding Aman Palestin, Prof. Madya Dr. Zainurrasyid mengisi slot seterusnya yang banyak berkisar tentang perjuangan remaja di Palestin dalam membebaskan tanahair mereka. 

Majlis punutup Jambori Remaja Muslim Nasional 2009 pula disempurnakan oleh wakil pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS). Turut hadir dalam majlis penutup tersebut ialah Ustaz Abdullah Zaik selaku Presiden ISMA dan ketua kampung juga merangkap imam masjid Ulu Bendul. Pasukan kawad KRIM Kedah selaku johan kawad jambori kali ini turut diberi penghormatan untuk diperiksa perbarisan oleh wakil JHEAINS. Selain ucapan perasmian penutup, penyampaian hadiah juga diberikan kepada semua pasukan berdasarkan ranking keseluruhan jambori. Pasukan Huzaifah berjaya mendapat tempat keempat keseluruhan daripada 12 pasukan dan lebih membanggakan, saudara Fadhil yang mewakili KRIM Kedah telah dinobatkan sebagai peserta terbaik keseluruhan untuk jambori kali ini. Tahniah diucapkan kepada semua peserta amnya dan pasukan KRIM Kedah khususnya.

peserta terbaik (saudara fadhil)

Peserta terbaik (saudara Fadhil)

KRIM Kedah mengucapkan tahniah kepada barisan urusetia jambori yang berjaya mengendalikan perjalanan jambori dengan begitu baik dengan dibantu oleh hampir 20 orang fasilitator berpengalaman dari Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) yang rata-ratanya merupakan penuntut di institusi pengajian tinggi tempatan. Kepada adik-adik peserta khususnya dari Kedah, kami mengharapkan ukhuwwah yang terjalin sesame peserta dapat diteruskan dan dirapatkan lagi dan sentiasa bersedia menzahirkan motto KRIM dalam kehidupan harian iaitu ‘ motivasi, iltizam, jatidiri ‘.   

 Mohd Khalil Hashim

Penolong Pengarah

KRIM Kedah

REHLAH KRIM 13 June, 2009

Posted by ismakedah in Aktiviti.
add a comment

Tanggal 12 Jun 2009 bersempena dengan cuti sekolah, KRIM Kedah telah menganjurkan program   “Tautan Hati“ bertempat di Taman Tasik Darulaman, Jitra. Dengan bertemakan ‘Tautan di hati, Ukhuwwah bersemi’, program santai ini telah mengumpulkan para remaja daripada pelbagai latar belakang dan sekolah. Aktiviti-aktiviti menarik telah diselitkan bagi membina ukhuwwah di kalangan para peserta dan juga AJK.

Seawal jam 8.00 pagi, para peserta telah berkumpul, mendaftar dan diberi masa untuk sarapan pagi terlebih dahulu. Kemudian, program diteruskan dengan ucapan alu-aluan serta tazkirah ringkas mengenai ukhuwwah. Untuk memecahkan benteng yang menghalang interaksi di antara para peserta, sesi ‘ice-breaking’ diadakan. Para peserta diminta mengingati nama dan sekolah setiap peserta, kemudian tanpa mengeluarkan suara mereka diminta menyusun diri masing-masing mengikut turutan abjad. Setiap kesalahan yang berlaku, semua peserta didenda dan diminta membetulkan urutan dalam masa yang ditetapkan. Ternyata, aktiviti ini telah berjaya mendekatkan jurang yang memisahkan mereka.

Acara diteruskan lagi dengan membahagikan para peserta kepada 3 kumpulan. Beberapa permainan yang melibatkan kerjasama dan ukhuwwah telah menautkan lagi hati-hati para peserta. Setiap permainan yang diadakan mempunyai objektif yang tersendiri dan peserta diminta memberi komen usai setiap permainan tersebut. Kegembiraan jelas terpancar di wajah mereka tak kurang juga yang kepenatan terutama selepas permainan terakhir iaitu menjaga ‘amanah’ masing-masing.

DSC00064

Program dirancakkan lagi dengan acara sukan air yang ditunggu-tunggu. Terik mentari langsung tidak menggugat keriangan para peserta. Masing-masing ‘mengayuh’ bot menyusuri tasik di samping menghayati keindahan alam ciptaan Allah SWT. Walaupun kaki terasa lenguh tetapi rata-rata peserta berasa gembira dan bersemangat memandangkan itu merupakan pengalaman pertama mereka.

Usai aktiviti sukan air, para peserta berkumpul untuk acara kemuncak iaitu bertukar-tukar hadiah yang diselang selikan dengan teka-teki. Setiap peserta dan AJK mencabut nombor masing-masing dan menerima hadiah mengikut nombor yang telah diperolehi. Walaupun acara ini berjalan dalam suasana yang sangat sederhana namun ia tetap meriah dan yang paling penting adalah keikhlasan setiap peserta dalam memberi dan menerima hadiah masing-masing. Kemudian, setiap peserta dan AJK diberi peluang untuk meluahkan perasaan masing-masing berkenaan program “ Tautan Hati “ ini. Sebelum pulang, perut diisi terlebih dahulu dengan makan tengah hari yang telah disediakan dan seperti yang dirancangkan program berakhir pada jam 12.00 tengah hari. (more…)

ISMA Kedah Terima Kunjungan Politeknik Kelantan 1 June, 2009

Posted by ismakedah in Aktiviti.
add a comment

ISMA Kedah Terima Kunjungan Politeknik Kelantan

Jitra 31 Mei – Ikatan Muslimin Malaysia hari ini berbesar hati menerima kunjungan dari Politeknik Kelantan. Rombongan seramai 31 orang yang terdiri dari 10 pelajar lelaki dan 21 pelajar perempuan itu adalah dalam rangka lawatan sambil belajar ke negeri Kedah Darul Aman.

Rombongan dari Kelantan ini diberi sambutan mesra di pejabat ISMA di Bandar Darulaman, Jitra Kedah. Bermula dengan sesi jamuan, diikuti dengan sesi taaruf seterusnya tazkirah ringkas oleh Ustaz Fisol Bin Md. Isa dan majlis diakhiri dengan sesi bertukar-tukar cenderamata dan sesi bergambar.

ISMA Kedah amat merasa berbesar hati menerima kunjungan ini dan berharap agar perkenalan ini akan dapat menghasilkan ikatan ukhuwwah yang berpanjangan sehingga akhir hayat.

Mus’ab Bin Umair : Pemuda Dakwah Mengubah Sejarah 1 June, 2009

Posted by ismakedah in Aktiviti.
2 comments

P4140224

Mus’ab adalah pendakwah yang hebat, penuh kesungguhan dan kebijaksanaan, antara kisah yang masyhur dan telah diriwayatkan dalam kitab muktabar seperti Hayatus Sahabah karangan Sheikh Yusuf Al Kandahlawi dan Raheeq Makhtum, karangan Safiyyur Rahman Al Mubarakfuri berkenaan pengembaraan dakwah Mus’ab di Madinah adalah kisah pengislaman Saad Bin Muadz dan Usaid Bin Hudair, dua tokoh pemimpin dan golongan elit Madinah.

Driwayatkan bahawa suatu hari telah keluar bersama As’ad Bin Zurarah ke sebuah perkampungan Bani Zafar. Mereka duduk di tepi perigi Marq dan Mus’ab mengajarkan tentang Islam kepada golongan yang baru memeluk Islam.

Kelibat mereka telah dilihat oleh Saad Bin Muadz dan Usaid Bin Hadhir, lantas Saad mengarahkan Usaid agar menghalau Mus’ab dan halaqahnya dari situ. Saad membentak Usaid dengan berkata :

“Lihatlah dua pemuda itu yang telah memperbodohkan golongan-golongan kita, ayuh kau halaukan mereka dari sini, kalaulah bukan kerana As’ad Bin Zurarah itu anak saudaraku, nescaya aku sendiri yang akan menghalaunya” (more…)

Mukhayyam Dakhili 1 June, 2009

Posted by ismakedah in Wanita & Keluarga.
1 comment so far

Jitra, 28 – 30 Mei – Biro Wanita dan Keluarga ISMA Kedah telah mengadakan program mukhayyam dakhili yang bertema kukuhkan ukhuwwah, mantapkan dakwah! bertempat di Tadika Nur Tasnim, Jitra, Kedah. Berobjektifkan untuk melahirkan wanita muslimah yang berlandaskan qudwah sahabiah, program ini berjaya menarik seramai 30 hadirin terdiri daripada pelbagai lapisan peringkat usia iaitu dari wanita ISMA sehinggalah kepada akhawat PEMBINA dan akhawat KRIM.

Mukhayyam ini bermula dengan solat Isya’ secara berjemaah kemudian disusuli dengan slot ice breaking. Slot ini menghendaki setiap peserta menghafal nama, asal dan tarikh lahir kesemua peserta. Program pada malam tersebut diakhiri dengan tadarrus Al-Quran secara berkumpulan. (more…)