Setiap keluarga seharusnya merancang jumlah anak yang diinginkan dan jarak antara setiap kehamilan. Merancang keluarga adalah perlu bagi memastikan bahawa seseorang ibu itu berada pada tahap kesihatan yang memuaskan sebelum mengandung. Jarak yang sesuai antara setiap kehamilan adalah lebih kurang 3 tahun. Tempoh 3 tahun ini dapat memberi peluang dan hak kepada anak untuk menyusu dan juga memastikan bahawa simpanan nutrient ibu seperti zat besi, kalsium dan lain-lain yang telah digunakan pada kandungan yang lalu telah kembali ke tahap yang normal.

Terdapat berbagai-bagai kaedah merancang keluarga seperti penggunaan pil perancang, alat dalam rahim, kaedah suntikan dan kaedah “barrier” seperti kondom dan diaphgram. Kaedah seperti pengiraan waktu subur dan azal walaupun lebih natural, tetapi peratus kegagalan kedua-dua kaedah ini adalah lebih tinggi.
Implanon merupakan sejenis kaedah terbaru di mana ianya mula diperkenalkan di Malaysia pada April 2002. Implanon merupakan sejenis rod sebesar batang mancis yang dimasukkan di bawah kulit lengan atas melalui suntikan. Rod ini akan mengeluarkan sejenis hormon progestogen iaitu etonogesterol pada kadar yang sama setiap hari untuk tempoh 3 tahun. Selepas tempoh 3 tahun, rod ini tidak berkesan lagi dan perlu dibuang. Kedua-dua prosedur iaitu pemakaian dan pembuangan implanon boleh dibuat di klinik, memerlukan hanya bius setempat dan prosedur kedua-duanya tidak melebihi 5 minit.
Hormon yang dikeluarkan oleh implanon akan menyebabkan gangguan pada pengeluaran telur oleh wanita dan seterusnya menghalang kehamilan. Kajian yang dijalankan ke atas hampir 6000 wanita menunjukkan tiada kehamilan dalam tempoh 3 tahun ianya dipasang. Selepas sahaja implanon dikeluarkan, pengeluaran telur akan kembali kepada normal dalam tempoh seminggu.
Antara kesan samping penggunaan implanon adalah gangguan pada kitaran haid sama ada haid akan jadi berpanjangan, haid akan jadi sangat sedikit atau tiada datang haid. Setiap individu akan menunjukkan respons yang berbeza. Kaunseling tentang gangguan haid sebelum pemasangan implanon dapat memastikan setiap individu bersedia jika gangguan pada kitaran haid terjadi.
Implanon boleh dipasang di mana-mana klinik swasta pakar perbidanan atau di klinik LPPKN. Di klinik LPPKN harga implanon adalah sekitar RM 200 manakala di klinik pakar sekitar RM 350 ke 450. Implanon adalah kaedah merancang keluarga yang selamat dan berkesan.
Dari segi hukum, setiap perancang keluarga yang tidak memudaratkan kesihatan ibu atau bayi adalah harus, justeru itu implanon adalah termasuk dalam prinsip umum tersebut. Implanon adalah satu alat perubatan dan ia bukanlah susuk seperti yang difahami oleh sesetengah pihak.
Dr. Murizah Mohd Zain
Pakar Perbidanan & Sakit Puan Hospital Sultanah Bahiyah,
Alor Star, Kedah.
e-mel murizahz@hotmail.com.




1 response so far ↓
ala // 28 September, 2009 at 3:36 pm
Dr, jika pemakai implanon meninggal, bagaimana ye, kena keluar kan ke dari mayat?