Kem C.U.D.I.P.T Bakal Menggegarkan Remaja! 21 January, 2010
Posted by ismakedah in Aktiviti, Krim.add a comment
Konvensyen Pemikiran Hassan Al Banna 18 January, 2010
Posted by ismakedah in Aktiviti.add a comment
2 Sudu Sekali Makan, 3 Kali Sehari 18 January, 2010
Posted by ismakedah in Aktiviti.add a comment
“Anak kita panas badannya ni, jom kita gi klinik” Ibu Khadijah menyapa suaminya Ahmad yang baru sahaja pulang dari kerja.
Ahmad meletakkan tangannya pada dahi si kecil, ternyata badannya agak panas, tanpa membuang masa, Ahmad menyuruh isterinya bersiap untuk ke klinik sesegera yang mungkin.
Tiba di klinik, ibu Khadijah membuat pendaftaran di kaunter, tidak berapa lama selepas itu, nama Khadijah dipanggil.
“Anak puan ni demam, jadi saya akan bagi ubat demam yang namanya Paracetamol, makan 2 sudu 3 kali sehari ye” doktor memberi arahan sambil menarik stetoskop dari dada si kecil Khadijah.
Ubat dan duit bertukar tangan, terlihat riak-riak kelegaan di wajah ibu Khadijah kerana anak kesayangannya telah mendapat penawar mujarab dari doktor.
Tiba di rumah, ibu Khadijah terus membuka plastik ubat, kemudian membaca nama ubat dan arahannya
“Paracetamol, 2 sudu sekali makan 3 kali sehari”
“Paracetamol, 2 sudu sekali makan 3 kali sehari”
setelah mengulangkan ayat yang sama sebanyak 3 kali, ubat itu terus disimpan di almari. Keesokan harinya, ibu Khadijah mengambil ubat dari para almari dan terus membaca nama ubat serta arahannya, sama seperti perlakuannya semalam.
Namun wajahnya sedikit resah kerana demam anaknya kelihatan semakin teruk
Pulang dari kerja, Ahmad terlihat perlakuan pelik isterinya lalu menegur…
“Eh, buat apa lagu tu, mana ada anak tu nak sembuh kalau setakat dengar nama ubat dan arahannya aje, ubat tu untuk dimakan la…”
Ibu Khadijah terpinga-pinga melihat ubat dan anaknya yang sakit, padanlah demam anaknya tidak kebah-kebah, salah cara amalkan ubat rupanya…
Situasi diatas mungkin hanya khayalan, namun itulah yang terjadi kepada kebanyakan umat Islam hari ini. Walaupun mempunyai Al-Quran sebagai penawar mujarab, namun ia hanya dibaca dan dilagukan namun tidak diamalkan dalam kehidupan.
Al-Quran turun sebagai penawar kepada segala masalah manusia, namun sekadar membacanya sahaja tidak mencukupi, ia harus difahami dan diamalkan dalam seluruh aspek kehidupan.
Al-Quran juga tidak akan memberi kesan apa-apa jika hanya digantungkan di dinding-dinding dengan tulisan khat yang indah-indah, ibarat menggantungkan ubat di leher pesakit, sampai sudah pun pesakit pasti tidak akan mendapat manfaat dari ubat tersebut, tetapi Al-Quran mesti di sematkan di dalam hati sanubari, bukan hanya dihafal tetapi dilaksanakan setiap perintahnya dalam kehidupan.
Dan Kami turunkan dari Al Qur’an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al Qur’an itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian. 17:82
Ayat-Ayat Peringatan Buat Manusia 13 January, 2010
Posted by ismakedah in Aktiviti.add a comment
Mohd Hisham Mohd Sharif (Unit Media ISMA Kedah)
Hari ini dunia dikejutkan lagi dengan tragedi gempa bumi, kali ini di Haiti, sebuah negara kepulauan yang miskin dalam gugusan kepulauan berhampiran benua Amerika. Kemusnahan dianggarkan amat dasyat, kemalangan jiwa juga dijangkakan akan mencecah 4 dan tidak mustahil 5 angka. Siri-siri peringatan dari Allah ini semakin lama semakin kerap, apabila manusia telah terlalu jauh dari jalan yang lurus dan melampaui batas di atas muka bumi, maka Allah berbicara kepada manusia melalui siri-siri gempa yang mengingatkan hati yang lalai. Adapun bagi hati yang tidak pernah kisah akan apa yang berlaku, peringatan-peringatan yang datang akan berlalu bagaikan angin bertiup, kehidupan diteruskan ibarat tiada apa yang berlaku, hidup diteruskan, biarlah peringatan itu dan biarlah sengsara orang lain yang tidak ada kena mengena dengan diri.
Allah berbicara dengan manusia dalam 3 cara. Kaedah yang pertama adalah dengan Al-Quran. Dalam kitab yang agung ini, manusia dijelaskan akan asal-usul kehidupan, hakikat penciptaan dan kehidupan selepas kematian serta panduan kehidupan diatas muka bumi. Kehidupan berlandaskan Al-Quran ini diterjemahkan oleh rasulnya yang mulia, Muhammad S.A.W. Namun ramai manusia mengabaikan kalam agung ini, hatta kaum muslimin sendiri. Yang membacanya pun ramai yang seperti burung kakaktua yang mengungkapkan kalam indah yang tidak difahaminya.
Kaedah yang kedua adalah dengan bahasa keunikan dan keindahan ciptaannya. Keseimbangan ekosistem alam, keharmonian peredaran bumi dan planet-planet di atas orbit tanpa tersasar walaupun 1 cm. Bahkan di dalam diri manusia sendiri terserlah kehebatan dan keunikan ciptaan Allah, jantung yang terus menerus taat berdegup, buah pinggang yang setia menjadi penapis segala sisa-sisa yang tidak diperlukan, keharmonian segala organ tubuh badan manusia adalah antara tanda kebesaran yang sering diabaikan. Namun manusia sering mengabaikan bicara bahasa ciptaan ini. Lebih malang ada yang mendakwa bahawa segala-galanya terjadi sendiri. Sungguh tidak masuk akal!. Kaedah yang ketiga adalah melalui siri-siri peringatan yang didatangkan dalam bentuk yang pelbagai, mungkin dalam bentuk musibah yang melanda diri dan yang paling menggerunkan adalah mungkin apabila datang dalam bentuk bencana alam yang memusnahkan. Tatkala datang bala seperti ini, ia menjadi pengajaran untuk hati-hati yang ingin kembali kepadanya agar kembali ingat dan melaksanakan tugas khalifah untuk memakmurkan bumi ini. Hari ini di Haiti berlaku gempa bumi yang paling dasyat sejak 200 tahun, esok lusa pula siapa tahu dimana? Belum sampaikah masa untuk kita tunduk dan patuh kepada perintahnya? Peringatan bagaimana lagi yang ingin kita tunggu?
Kenyataan rasmi ISMA mengenai isu penggunaan kalimah Allah 9 January, 2010
Posted by ismakedah in Berita.add a comment
Pertubuhan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) merasa kesal dan memandang berat terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan akhbar mingguan Gereja Katholik, Herald – The Catholic Weekly menggunakan kalimah “ALLAH” di dalam terbitan mereka. Keputusan ini dilihat akan memberikan implikasi yang besar kepada perkembangan pengaruh agama Kristian di kalangan umat Islam terutama generasi muda negara ini.
Keputusan mahkamah itu juga bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menghalang penyebaran agama bukan Islam di kalangan orang Islam. ISMA melihat keputusan mahkamah ini akan memberi laluan yang lebih luas ke arah kedudukan samarata agama, sedangkan perlembagaan telah menetapkan Islam adalah agama rasmi negara (agama persekutuan).
Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang ke-82 pada bulan Mei 2008 yang lepas telah membuat keputusan bahawa kalimah “ALLAH” ini khusus bagi agama dan umat Islam. Allah pada sisi agama Islam adalah tunggal dan esa sifat-Nya. Keputusan majlis muzakarah tersebut membayangkan kepada seluruh masyarakat Malaysia bahawa isu ini sangat sensitif kepada rakyat yang beragama Islam. Namun ada pihak yang memandang ringan dan mahu mencabar keputusan majlis tersebut dengan bertindak membawanya ke mahkamah.
ISMA menyokong pihak JAKIM dan KDN yang akan membuat rayuan dan berpendapat bahawa langkah itu menepati kehendak “Siasah Syariyyah”. Walaupun larangan menggunakan nama Allah itu tidak terdapat dalam kitab fikah terdahulu, pihak berwajib boleh berijtihad atas dasar “Masolih Mursalah” dan menepati tuntutan tujuan syarak (Maqasid Syarak) iaitu menjaga agama (Hifzu ad-Din).
Sehubungan dengan itu, ISMA menyeru agar:
1) Parti-parti politik yang mewakili suara umat Islam supaya mengetepikan kepentingan politik masing-masing dengan memberikan sokongan padu di belakang Jabatan Perdana Menteri yang akan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah tersebut. Sesungguhnya perbezaan fahaman politik di kalangan umat Islam di negara ini seharusnya ada batas sempadan, dan isu ini menuntut bukti kesetiaan pada agama dan bangsa daripada semua pihak tanpa terkecuali. Masa depan agama Islam tidak seharusnya dikompromikan demi menjaga hati dan sokongan pihak-pihak tertentu.
2) Para ulamak dan agamawan agar dapat menghentikan perbalahan pendapat dalam soal cabang dan seterusnya tampil memperhebatkan kempen penerangan kepada masyarakat akan hakikat perbezaan antara Allah yang Maha Esa dan konsep “Trinity” di sisi agama Kristian. Penggunaan kalimah Allah dalam media agama Kristian sudah tentu akan melahirkan ancaman kekeliruan di kalangan umat Islam yang cetek ilmu agamanya.
3) Seluruh anak watan Melayu agar bangkit segera dari lena yang panjang dan menyedari betapa status quo dan keistimewaan agama Islam di negara ini sudah mula dicabar sedikit demi sedikit. Fenomena ini hanya dapat disekat jika mereka membuang sifat toleransi melampau dan terlalu berlembut dalam hal-hal yang mengancam identiti mereka sendiri, serta membina kembali jati diri selaku umat yang pernah menerajui tamadun Islam serantau.
IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA (ISMA)
Bandar Baru Bangi
3 Januari 2010
Sumber: ISMAWEB.net
Rehlah KRIM Menutup Tirai 2009 9 January, 2010
Posted by ismakedah in Aktiviti, Krim.add a comment
Pantai Merdeka, 29 Dis. – Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) negeri Kedah menutup tirai 2009 dengan mengadakan program Rehlah Ukhuwwah bertempat di Pantai Merdeka pada 29 Disember 2009 yang lepas. Seramai 30 orang peserta sekolah menengah sekitar negeri Kedah berjaya dikumpulkan dengan dibantu oleh 6 orang fasilitator yang terdiri daripada bekas pelajar STAM dan pelajar universiti yang sedang bercuti.
Program bermula pada malam 28 Dis, para peserta mula berkumpul dan mendaftarkan diri di Tadika Tasnim Bestari, Alor Setar pada jam 9 malam. Sesi taaruf membuka tirai program pada malam itu dan disusuli dengan pengisian pertama bertajuk ‘Realiti Umat Kini dan Remaja Kita ‘. Intipati utama daripada slot itu ialah para peserta mendapat gambaran bagaimana umat Islam seluruh dunia amnya yang sedang ditindas dan dizalimi manakala remaja-remaja di Malaysia khususnya masih leka dan alpa dengan serangan-serangan pemikiran oleh barat yang berjaya mengaburi mata hati mereka. Seterusnya pengarah KRIM Kedah, saudara Syauqi membuat pengenalan KRIM kepada para peserta dengan tayangan multimedia aktiviti KRIM sepanjang tahun 2008 dan 2009. Para peserta diberi ruang untuk tidur seawal jam 11 malam untuk program seterusnya di Pantai Merdeka keesokan hari.
Perjalanan ke Pantai Merdeka bermula setelah para peserta selesai berqiamullail, solat subuh dan bacaan mathurat secara beramai-ramai. Semua peserta selamat tiba di destinasi kira-kira jam 9 pagi setelah melalui perjalanan hampir 100km dari Bandaraya Alor Setar. Setelah selesai mengemas kawasan dan bersarapan, upacara perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Haji Zuhri selaku Pengarah YADIM zon utara. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan para peserta agar menjadi seorang remaja yang berguna, sentiasa memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling dan juga berharap agar para peserta selalu mendekatkan diri dengan program-program yang bermanfaat seperti yang dianjurkan oleh KRIM.
Slot perbincangan bersama fasilitator menyusul selepas itu dengan para peserta membincangkan tajuk ukhuwwah. Banyak idea-idea bernas yang dilontarkan oleh para peserta tentang cara untuk merapatkan ukhuwwah di sesama Muslim.
Kemeriahan rehlah KRIM makin terserlah dan lebih ceria dengan aktiviti ‘bermain bola ikat kaki’. Permainan ini memerlukan kecekapan bertindak dan dalam masa yang sama perlu memahami rakan pasangan agar pergerakan menjadi lancer. Walaupun rata-rata peserta agak sukar untuk bergerak, kelihatan mereka begitu bersungguh-sungguh untuk meneruskan permainan, Moral paling penting yang diperoleh oleh para peserta dalam permainan bola tadi ialah mereka dapat memahami betapa pentingnya sifat saling membantu di antara satu sama lain.
Setelah penat bermain, para peserta bekerjasama untuk menyediakan makanan tengahari berkonsepkan BBQ bersama fasilitator dalam kumpulan. Sambil membakar ayam, para peserta mengambil peluang ini untuk lebih mengenali antara satu sama lain. Selesai makan tengahari dan solat zohor berjemaah,para peserta dihidangkan dengan pengisian ringkas oleh motivator KRIM Kedah iaitu Tuan Haji Arif dengan tajuk ‘Alam’. Suasana Pantai Merdeka yang begitu indah bertambah serinya apabila Ustaz Arif mengajak para peserta melihat kejadian alam itu dengan mata hati, melihat pulau-pulau sekitar, pantai, burung-burung dan segala ciptaan tuhan yang begitu sempurna sifatnya. Beliau juga berharap agar para peserta sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang Allah berikan.
Walaupun agak keletihan, para peserta nampak begitu bersemangat untuk meneruskan aktiviti yang seterusnya iaitu permainan ‘ pijak belon dikaki’. Permainan ini memerlukan kepantasan dan kepekaan dalam menyerang dan bertahan agar tidak silap menyerang rakan sendiri. Suasana kegembiraan jelas kelihatan dengan gelak ketawa para peserta dan fasilitator melihat gelagat rakan-rakan yang bermain.
Aktiviti terakhir adalah aktiviti yang paling dinanti-nantikan peserta iaitu mandi laut. Peruntukan masa 20 minit yang diberikan untuk membasahkan badan dalam laut di Pantai Merdeka nyata tidak mencukupi namun kualiti masa selama 20 minit itu digunakan sebaik mungkin oleh para peserta untuk meningkatkan lagi tahap ukhuwwah yang sudah terjalin sejak awal program rehlah ini.
Para peserta mula bergerak pulang selepas selesai menunaikan solat Asar secara berjemaah di sebuah masjid berhampiran dengan Pantai Merdeka. Semoga program rehlah ini mampu menjadi saksi keakraban ukhuwwah yang berjaya dibina di kalangan para peserta.
Kata-kata Assyahid Hasan Albanna :
“…angkatan pemuda, sejak dahulu hinggalah sekarang tetap merupakan tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu umat”
Habib bin Abdul Fisol
Pengarah Program
Rehlah KRIM 2009
Setahun Berlalu : Gaza Terus Ditindas 31 December, 2009
Posted by ismakedah in Aktiviti.add a comment
Gaza terus ditindas
Masa berlalu pantas, tanpa disedari oleh kebanyakan dari kita, semalam genaplah setahun operasi ketenteraan besar-besaran tentera Israel terhadap Gaza. Operasi yang menyaksikan sekurang-kurangnya 1500 terkorban yang mana kebanyakannya adalah orang awam yang kebanyakannya terdiri daripada wanita, golongan tua dan kanak-kanak. Ribuan lagi cedera dan masih menderita, infrastruktur asas seperti hospital, sekolah, balai polis, pejabat kerajaan kebanyakannya dimusnahkan dan lebih malang lagi, kekejaman, sekatan dan kepungan masih lagi beterusan hingga hari ini tanpa apa-apa tindakan tegas oleh masyarakat antarabangsa.
Walaupun perang telah berakhir, traumanya masih berterusan terutamanya terhadap kanak-kanak. Ramai yang enggan ke sekolah kerana trauma menyaksikan sekolah mereka dibedil dan ada antara rakan-rakan mereka yang terbunuh di depan mata. Mangsa bom kimia masih lagi menderita kesakitan yang tiada taranya, anak-anak yatim piatu masih tiada pembelaan, pendek kata, rakyat Gaza benar-benar menderita.
Kegagalan masyarakat antarabangsa dan badan dunia serta kuasa-kuasa besar mengambil tindakan tegas terhadap penjenayah perang Israel dan menamatkan kepungan terhadap Gaza adalah amat mengecewakan. Sekatan bekalan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas masyarakat benar-benar menghimpit rakyat Gaza sehingga saat ini. Mesir yang bersempadan dengan Gaza melalui pintu Rafah juga masih enggan memberikan kerjasama, bahkan dilaporkan Mesir sedang dalam proses untuk memasang tembok bawah tanah bagi menghalang penyeludupan bahan-bahan asas melalui terowong-terowong yang menjadi talian hayat bagi rakyat Gaza.
Sehingga kini rata-rata pemimpin dunia hanya mampu bersidang, memberi kecaman dan tekanan tanpa apa-apa tindakan yang konkrit. Semuanya tunduk kepada desakan pelindung besar negara haram Israel, negara mana lagi kalau bukan Amerika Syarikat. Pemimpin-pemimpin dunia Islam pula terutama pemimpin-pemimpin Arab juga seakan membisu, bahkan mereka lebih suka menyalahkan Hamas sebagai punca konflik yang berterusan.
Israel juga tidak langsung peduli dengan kecaman dunia kerana mereka tahu kuasa veto sentiasa akan memihak kepada mereka. Dengan ini, mereka terus menyekat hak-hak asasi manusia di Gaza, menghalang kemasukan bekalan asas, menyekat kehidupan mereka dengan tembok apartheid malah serangan ketenteraan juga masih berterusan walaupun dalam skala yang lebih kecil. Tanpa berselindung, Israel ternyata telah melakukan jenayah perang dan mereka adalah pengganas paling besar yang berselindung disebalik nama operasi ketenteraan.
Umat Islam harus sedar dengan situasi ini, tanggungjawab membantu saudara kita di Palestin adalah tanggungjawab setiap muslim, bukan hanya tanggungjawab orang Palestin dan bukan juga khusus kepada bangsa Arab sahaja. Kita harus bangkit memboikot segala cara hidup tajaan Yahudi yang merosakkan. Tidak cukup dengan sumbangan kewangan dan doa sahaja, umat Islam harus beriltizam untuk menjadi muslim yang benar-benar mengamalkan islam dalam kehidupan. Inilah cara terbaik untuk kita mengalahkan Yahudi.
Selamat Kembali 31 December, 2009
Posted by ismakedah in Aktiviti.add a comment
ISMA Kedah mengucapkan selamat kembali kepada akh Fisol Elham dan Ukh Rohaizah Jantan yang baru pulang dari menunaikan haji dan juga teristimewa buat akh Shakirin dan ukh Salina yang kembali pulang ke Kedah setelah bermastautin di Yaman selama 5 tahun.
Semoga kepulangan ini akan menambah semangat ahli-ahli yang lain untuk terus menyemarakkan dakwah di Kedah.
Tahniah Dr. Ijat dan Akh Hamzah 31 December, 2009
Posted by ismakedah in Aktiviti.add a comment
Tahniah Dr. Ijat dan Akh Hamzah
Tahniah diucapkan kepada saudara Hamzah Sakeran (penggerak ISMA Perlis) dan Dr. Ijat (Bakal penggerak ISMA Kedah) dan isteri masing-masing sempena majlis walimah yang berlangsung baru-baru ini.
Semoga perkahwinan ini akan melonjakkan lagi semangat mereka untuk memperkasakan dakwah di utara.
ISMA Kedah buat kejutan di KASBI09 31 December, 2009
Posted by ismakedah in Aktiviti.add a comment
Bangi – 18 Disember . Berbekalkan semangat “Pulun Kedah Pulun”, pasukan bolasepak veteran ISMA Kedah membuat kejutan dengan merebut tempat naib juara di karnival sukan belia islam bertempat di Bangi pada 18 Disember lepas.

isma kedah dengan jersey baru (warna merah)
Pasukan Kedah yang menghantar kontinjen seramai 42 orang yang terdiri dari 3 pasukan bolasepak, 1 pasukan bolatampar lelaki dan satu pasukan bola jaring. Walaupun tanpa latihan yang cukup dan kesuntukan masa untuk membentuk pasukan juga mengharungi perjalanan yang jauh, pasukan Kedah dilihat bersemangat untuk bertanding di karnival sukan belia islam yang julung-julung kali dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional.

walaupun tewas, tetap bersemangat
Menurut Chef De Mission, Dr. Zulkifli Yusof, pencapaian naib juara bolasepak adalah satu pencapaian membanggakan walaupun pasukan yang lain gagal untuk merebut hadiah utama. “Walaupun tewas, tetapi semangat kesukanan dan kesetiakawanan adalah lebih utama” ujar beliau.
Tahniah buat ISMA Kedah dalam penyertaan sulung, moga lebih berjaya pada masa-masa akan datang.












